Wednesday, August 11, 2010

Cerpen Seekor Manusia Seorang Binatang

CERPEN SEEKOR MANUSIA SEORANG MANUSIA SEORANG BINATANG
(Muhammad Isa al-Jambuli)


SINOPSIS
Mengisahkan tentang seorang gadis bernama Zaniyah yang terlanjur dalam hubungan dengan kekasihnya. Ibarat habis madu sepah dibuang, maka Zaniyah yang sedang hamil telah ditinggalkan oleh kekasihnya, Zaney, sesudah dia mendapatkan apa yang dimahukannya daripada Zaniyah. Zaniyah yang melahirkan anak di pinggir hutan Lembah Darah Terbelah telah meninggalkan bayinya di pinggir sungai tersebut. Namun, apabila dia kemudiannya melihat seekor ibu monyet bergadai nyawa menyelamatkan anaknya, Zaniyah menjadi insaf, lantas kembali mendapatkan semula anak yang telah ditinggalkannya itu.


TEMA
Bertemakan tentang keinsafan seorang ibu atas kesalahan dan keterlanjuran diri hasil daripada hubungan luar nikah. Zaniyah yang telah melahirkan anak di pinggir hutan Lembah Darah Terbelah telah meninggalkan bayinya di pinggir hutan tersebut. Namun, setelah melihat kejadian seekor ibu monyet yang bergadai nyawa untuk menyelamatkan anaknya, Zaniyah menjadi insaf dan lantas mendapatkan semula anak yang ditinggalkannya.


PERSOALAN
1. Pembuangan bayi. Contohnya, Zaniyah telah bertindak meninggalkan bayi yang telah dilahirkannya di pinggir sungai Lembah Darah Terbelah kerana tidak mahu menanggung malu melahirkan anak luar nikah.
2. Hubungan tanpa ikatan perkahwinan. Contohnya, Zaniyah pernah mempunyai hubungan dengan suami orang. Setelah meninggalkan lelaki tersebut, Zaniyah kemudian menjalinkan hubungan dengan Zaney menyebabkan dia telah hamil anak luar nikah.
3. Pergaulan bebas dalam kalangan muda mudi (budaya hedonisme). Contohnya, Zaniyah telah menjadi liar setelah ditinggalkan oleh Zaney dan seterusnya menceburi alam hedonistik, mengintimkan perhubungan dengan teman-teman bohsia dan rakan-rakan bohjan.
4. Ketidaksetiaan dan kecurangan dalam perhubungan. Contohnya, Ibu Zaniyah walaupun sudah bersuami tetapi telah bertindak curang dengan sanggup melarikan diri bersama pemuda lain hanya kerana rupa, harta, kuasa dan kedudukan.
5. Kasih sayang. Contohnya, ibu monyet bergadai nyawa untuk menyelamatkan anaknya yang hampir dimakan oleh buaya.
2. Sikap manusia yang tidak bertanggungjawab. Contohnya, Zaney telah menghilangkan diri setelah Zaniyah hamil.

WATAK DAN PERWATAKAN
1. Zaniyah
- Watak utama.
- Berasal dari kampung dan telah menetap di kota.
- Anak perempuan kepada lelaki yang menjadi tali barut semasa zaman pendudukan Jepun.
- Bertindak mengikut perasaan. Contohnya, Zanyiah telah pergi ke hutan Lembah dara untuk melahirkan bayinya dan seterusnya telah bertindak untuk meninggalkan bayi tersebut. (ms 50)
2. Pernah menjadi mangsa buaya darat dan pasangan belangkas darat kepada Zaney. (ms 51)
3. Cepat menerima pujukan. Contohnya, Zaniyah dengan mudah menerima kata-kata pujukan Zaney untuk meninggalkan lelaki yang dikatakan sudah berbini dan seterusnya menjadi pasangan kekasih kepada Zaney.(ms 51)
4. Menjadi liar setelah ditinggalkan oleh Zaney. Contohnya, Zaniyah menceburi alam hedonistik, mengintimkan perhubungan dengan teman-teman bohsia dan rakan-rakan bohjan setelah ditinggalkan oleh Zaney. (ms 52)
5. Insaf akan kesalahan diri. Contohnya, Zaniyah telah mendapatkan semula bayinya yang telah ditinggalkan di pinggir sungai hutan Lembah Darah Terbelah setelah melihat kejadian seekor ibu monyet yang bergadai nyawa menyelamatkan anaknya yang hampir dimakan buaya.

2. Zaney
- Pandai memujuk. Contohnya, Zaney menggunakan kata-kata manisnya untuk mendapatkan Zaniyah.
- Seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab. Contohnya, Zaney tidak bertanggungjawab atas keterlanjuran hubungannya dengan Zaniyah dan telah bertindak meninggalkan Zaniyah yang sedang hamil hasil hubungan mereka.

3. Ibu Monyet
- Berperasaan seperti manusia.
- Sanggup berkorban nyawa demi anaknya.

4. Ibu Zaniyah
- Mempunyai dahi yang licin. (ms 54)
- Seorang isteri yang curang atau tidak setia. Contohnya, walaupun masih bersuami tetapi dia mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain dan telah lari bersama lelaki tersebut ke Selatan Thailand. (ms 54)

5. Ayah Zaniyah
- Merupakan seorang tali barut tenteraJepun semasa zaman pendudukan Jepun. (ms 54)
- Seorang kacak dan gagah semasa zaman mudanya. (54)
- Menggunakan kedudukan, harta dan kuasa untuk memenuhi tuntutan nafsu. Contohnya, kuasa, harta dan kedudukan yang ada pada ayah Zaniyah semasa zaman pendudukan Jepun menyebabkan dia telah berjaya merampas isteri orang dan bertindak melarikannya ke Selatan Thailand.

6. Suami
- Terbunuh dalam pertarungan  hendak merebut kembali isterinya.
- Difitnah sebagai tali barut Inggeris.


LATAR TEMPAT
1. Pinggir sungai hutan Lembah Darah Terbelah  (bawah pokok menggading besar)

- Tempat Zaniyah melahirkan bayi, seterusnya meninggalkan bayi tersebut. (ms 50)


LATAR MASYARAKAT
1. Masyarakat yang kejam. Contohnya, Zaniyah seorang yang kejam kerana sanggup membuang anaknya.
2. Masyarakat kota yang lair. Contohnya, Zaniyah mempunyai hubungan dengan suami orang sebelum menjadi kekasih kepada Zaney dan seterusnya menjalinkan hubungan dengan teman-teman bohsia dan rakan-rakan bohjan setelah ditinggalkan oleh Zaney.
3. Masyarakat yang tidak bertanggungjawab. Contohnya, Zaney seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab kerana meninggalkan Zaniyah setelah merosakkannya.
4. Masyarakat yang mementingkan harta, kuasa dan kedudukan. Contohnya, ibu Zaniyah seeorang yang mementingkan harta, kuasa dan kedudukan kerana sanggup meninggalkan suaminya untuk mengikuti lelaki lain yang lebih berkedudukan.
5. Masyarakat binatang yang penyayang. Contohnya, ibu monyet bergadai nyawa menyelamatkan anaknya yang hampir dibaham buaya.

PENGAJARAN
1. Kita hendaklah bertanggungjawab terhadap segala perbuatan dan tindakan kita. Contohnya, Zaney seharusnya bertanggungjawab terhadap perbuatannya yang telah merosakkan Zaniyah sehingga hamil anak luar nikah.
2. Kita seharusnya menyayangi anak. Contohnya, Zaniyah seharusnya menyayangi anak yang telah dilahirkan dan bukan membuangnya.
3. Kita hendaklah bertindak rasional dalam setiap tindakan. Contohnya, Zaniyah seharusnya bertindak rasional dengan memikirkan kesan buruk tindakannya membuang bayi.
4. Kita seharusnya bersyukur dengan anugerah Tuhan. Zaniyah seharusnya memelihara anak yang dilahirkannya dan tidak membuangnya kerana anak tersebut tidak berdosa dan ia merupakan anugerah Tuhan yang sangat berharga.
5. Kita hendaklah menjauhi dan menginsafi segala perbuatan yang terkutuk. Contohnya, Zaniyah seharusnya menjauhi perbuatannya seperti menjalin hubungan tanpa ikatan perkahwinan.
6. Kita hendaklah mempunyai sikap sanggup berkorban. Contohnya, ibu monyet sanggup bergadai nyawa demi menyelamatkan anaknya daripada dimakan buaya.

NILAI
1. Kasih sayang
2. Belas kasihan
3. Harga diri
4. Berani
5. Keinsafan


TEKNIK PENCERITAAN
1. Pemerian
- Darah dagingnya itu ditinggalkan di atas batu yang terhampar lebar di bawah pokok menggading besar di pinggir sungai di dalam hutan Lembah Dara Terbelah di pinggir kota. Barulah rasa lega dadanya dan berasa puas hatinya sekarang. (ms 50)

2. Imbas kembali/flashback
- Pengarang menceritakan peristiwa Zaney memujuk Zaniyah supaya meninggalkan kekasih Zaniyah yang dikatakannya sudah beristeri dan mempunyai anak. (ms 51)

- Pengarang menceritakan semula peristiwa pernikahan ayah dan ibu Zaniyah yang berlaku pada zaman pendudukan Jepun. Peristiwa berkisar mengenai ibu Zaniyah yang pada mulanya sudah bersuami tetapi bertindak curang dan telah mengikuti lelaki lain kerana harta, kuasa dan kedudukan. (ms 54)


GAYA BAHASA
1. Pemilihan diksi
- Memang begitulah, waktu tidak menjadi perhitungan dan masa berlalu di luar kesedaran apabila diri dihanyutkan oleh arus lautan qhaflah, dilambung gelombang dalalah.

2. Hiperbola
- Jantung hatinya kencang berdengup dijentik debaran cemas dan takut yang berterusan. (ms 50)

3. Personifikasi
- Para unggas melafazkan zikir masing-masing, mensyukuri kemunculan sang suria. (ms 52)
- Air yang keruh itu mengalir lesu. (ms 52)


4. Singkop
- Dia tu dah punya bini. (ms 51)
            tu – itu
            dah - sudah

5. Paradoks
- Keruh air di hulu, keruhlah air di hilir. (ms 53)
6. Repitisi anafora
- Terus ke kuala. Terus ke samudera luas yang bergelombang ganas. (ms 54)

Tuesday, August 3, 2010

Cerpen Warna Hati Seorang Datin


WARNA HATI SEORANG DATIN
(Rahman Haji Yusof)

Tema
Bertemakan tentang hubungan kekeluargaan yang renggang. Kebencian Datin terhadap madu dan anak-anak tirinya menyebabkan hubungan antara mereka renggang dan tidak mesra. Walau bagaimanapun, kematian Datuk menyebabkan rasa kekosongan dalam diri Datin dan dia mengharapkan kematian Datuk akan meninggalkan rasa insaf dalam setiap keluarga. Baginya, kematian itu seharusnya dapat mengeratkan kasih sayang yang terputus. Oleh yang demikian, Datin merasakan bahawa dia merupakan orang yang bertanggungjawab mengambil peranan besar dalam menyatukan semula madu dan anak-anak tirinya sebagaimana harapan arwah suaminya semasa masih hidup. Akhirnya, impian Datin tertunai apabila berlaku sejarah pertemuan keluarga yang amat berharga di rumah pusaka peninggalan arwah suaminya. 

Persoalan
1. Kasih sayang. Contoh: Datuk sangat menyayangi anak-anaknya iaitu Zety dan Zul.
2. Ketabahan dalam menghadapi cabaran rumah tangga. Contoh: Siti Halijah sabar dan tabah dalam menghadapi cabaran hidup walaupun madu dan anak-anak tiri sangat membencinya kerana dikatakan telah merampas suami orang.
3. Amalan poligami dan cerai dalam perkahwinan. Contoh: Semasa hidup, Datuk pernah berkahwin dengan empat orang isteri. Walau bagaimanapun, hanya isteri pertama dan isteri keempat yang kekal manakala isteri kedua dan ketiga telah diceraikannya.
4. Permasalahan/pergolakan dalam alam rumah tangga kesan daripada amalan poligami.  
5. Kerjasama dalam melakukan sesuatu kerja. Contoh: semasa kematian Datuk, jiran-jiran tetangga, sahabat handai dan saudara-mara telah datang untuk menolong menyelesaikan tugas agar pemergian Datuk berjalan dengan teratur dan selesai dalam waktu yang paling singkat.


Watak dan Perwatakan
1. Datin
- Watak utama dalam cerita.
- Isteri pertama Datuk.
- Dikurniai 9 orang anak hasil perkongsian hidup dengan Datuk iaitu antaranya Jahara, Suhada, Afifah, Aziah, Azuan, Zek, Efa, Basir.
- Seorang anaknya iaitu Basir mengalami cacat anggota.
- Sangat membenci madunya iaitu Siti Halijah sebelum kematian Datuk. Contoh: Datin menganggap Siti Halijah sebagai perampas suami.
- memainkan peranan agar anak-anaknya tidak mengenali adik-beradik tiri mereka yang lain walaupun titisan darah di tubuh masing-masing adalah titisan darah daripada seorang bapa.
- Insaf akan kesilapan diri. Contoh: Datin yang membenci madu-madunya termasuk anak-anak tirinya menaruh insaf yang mendalam di dalam diri dengan cuba untuk memperbaiki hubungan antara mereka supaya kasih sayang yang terputus kembali terjalin.
- Seorang yang sensitif.

2. Datuk
- Watak sampingan dalam cerita.
- merupakan bekas pegawai tinggi kerajaan.
- Seorang pemimpin yang dikasihi, dihormati dan disegani.

- Semasa hidupnya, pernah berkahwin lebih daripada seorang iaitu empat kali berkahwin (Isteri pertama-Datin, isteri kedua-Cikgu Jalilah, isteri ketiga-Syarifah Aminah dan Isteri keempat-Siti Halijah). Walau bagaimanapun, hanya isteri pertama dan keempat yang kekal manakala isteri kedua dan ketiga diceraikan.
- Seorang yang mengamalkan sikap kesederhanaan dalam kehidupan. Contoh: Datuk lebih senang tinggal di kawasan perumahan yang sederhana tetapi dihuni oleh pelbagai kaum.
- Mempunyai 14 orang anak hasil perkongsian hidup daripada keempat-empat orang isterinya iaitu 9 orang anak daripada isteri pertama, 2 orang anak daripada isteri kedua, seorang anak daripada isteri ketiga dan 2 orang anak daripada isteri keempat.
- Terlibat sama merancang untuk membuka rancangan FELDA bersama-sama dengan Tun Abdul Razak.
- Seorang yang banyak berjasa kepada masyarakat. Contoh: Datuk mempunyai jasa yang besar terhadap kawasan perumahan dengan berjaya menyatupadukan pelbagai kaum yang ada di kawasan tersebut.
- Seorang yang kurang bertanggungjawab terhadap anak-anak. Contohnya: Setelah bercerai dengan cikgu Jalilah, Datuk telah mengabaikan tanggungjawab dengan membiarkan anak-anak hasil perkongsian hidup mereka hidup sendiri iaitu Amri dan Zaleha. - - Punca kepada kerenggangan hubungan keluarga. Contoh: Semasa masih hidup, Datuk gagal mengeratkan hubungan kasih sayang bersama anak-anak sendiri kerana sikap Datuk sendiri yang tiada usaha untuk menghimpunkan anak-anak pada suatu pertemuan.


3. Siti Halijah
- Watak sampingan dalam cerita.
- Isteri keempat Datukdan madu Datin yang paling muda.
- Dikurniai dua orang anak. Anak-anaknya masih kecil iaitu Zety berumur 4 tahun dan Zul berumur 18 tahun.
- Seorang yang sangat menyayangi suaminya. Contoh: Siti Halijah sangat mengasihi suaminya walaupun perkahwinan mereka banyak menempuh cabaran.
- Dianggap perampas suami oleh Datin dan anak-anak Datin.
- Tidak dianggap sebagai ibu tiri oleh anak-anak Datuk yang sudah berumah tangga tetapi dianggap sebagai madu.
- Seorang yang sabar dan boleh mengawal diri. Contoh: Siti Halijah menerima dengan sabar tuduhan atau kata-kata kesat daripada Datin dan anak-anak tirinya yang menentang perkahwinannya dengan Datuk.

4. Jahara
- Watak Sampingan dalam cerita.
- Anak sulung Datuk dan Datin.
- Suaminya bernama Iskandar.
- Sangat membenci ibu tirinya iaitu Siti Halijah termasuk anak-anaknya.


5. Cikgu Jalilah
- Isteri kedua Datuk.
- Sudah hampir 25 tahun berpisah dengan Datuk.
- mempunyai 2 orang anak hasil perkongsian hidup dengan Datuk iaitu Amri dan Zaleha.
- Mempunyai rumah di Singapura.

Watak-watak Lain
1. Syarifah Aminah
- Isteri ketiga Datuk.
- Dikurniai seorang anak sahaja hasil perkongsian hidup dengan Datuk iaitu Taufik.

2. Suhada
- Anak Datuk dan Datin.
- Sangat membenci Siti Halijah.
- Seorang yang kasar. Contoh: Suhada menuturkan kata-kata yang kesat kepada Siti Halizah sebagai sebuah tentang terhadap perkahwinan Siti Halijah dengan ayahnya.

3. Atifah
- Anak Datuk dan Datin.
- Tidak menyukai ibu tirinya iaitu Siti Halijah.
- Anak sulungnya berumur dua tahun.

4. Aziah, Azuan, Zek, Efa dan Basir.
- Anak-anak Datuk dan Datin.

4. Amri dan Zaleha
- Anak Datuk dan Cikgu Jalilah.
- Amri tinggal di Sabah manakala Zaleha pula tinggal di Sarawak.
- Mempunyai hubungan yang renggang dengan ayah mereka.

5. Taufik
- Anak Datuk dengan Syarifah Aminah.

Latar
1. Latar Tempat
- Rumah pusaka – Rumah peninggalan arwah suami Datin.
- KLIA – tempat Amri, Zaleha dan Taufik bertemu sebelum berangkat ke rumah Datin.
- Sabah - Tempat Amri menetap.
- Sarawak – Tempat Zaleha menetap.
- Singapura – Rumah cikgu Jalilah.
- Kelantan – Tempat Taufik menetap.

2. Latar Masa
- Berlaku 1 hari iaitu bermula pada waktu subuh sehinggalah malam.

3. Latar/citra Masyarakat
- Masyarakat yang mementingkan permaufakatan dan kerjasama dalam menjalankan sesuatu tugas. Contoh: semasa kematian Datuk, jiran-jiran tetangga, sahabat handai dan saudara-mara telah datang untuk menolong menyelesaikan tugas agar pemergian Datuk berjalan dengan teratur dan selesai dalam waktu yang paling singkat.
- Masyarakat yang mementingkan diri sendiri.
- Masyarakat yang tabah.
- Masyarakat yang penyayang. Datuk sangat menyayangi anak-anaknya iaitu Zety dan Zul. Begitu juga, Siti Halijah sangat menyayangi suaminya walaupun perkahwinan mereka banyak menempuh cabaran.
- Masyarakat yang murah hati. Contoh: Setiap yang datang menziarahi jenazah Datuk telah menghulurkan derma sebagai simpati.

Gaya Bahasa
1. Personifikasi.
- Dingin pagi terasa menggigit tulang (ms 58)
  

2. Similie
- dadanya berdebar seperti dikejutkan oleh guruh pagi (ms 61)
- malah kehadirannya di rumah itu bagaikan seorang penjenayah yang sedang diperhatikan (62)

3. Repitisi Anafora
 Tunggu apa lagi, mak?”
Tunggu apa lagi, Datin?”
Tunggu apa dan siapa?”           (ms 70)

4. Hiperbola
- Terasa sayu membelah hati. (ms 75)



Cerpen Gersang


CERPEN GERSANG
Masniah Kalyubi

SINOPSIS
Cerpen “Gersang” karya Masniah Kalyubi memaparkan kisah seorang lelaki tua peminta sedekah yang terjumpa seorang bayi kecil di dalam tong sampah. Bayi itu dinamainya Sumi. Meskipun teramat tua kerana berusia hampir 100 tahun dan bongkok pula, namun naluri kemanusiaannya yang tinggi membuatkannya dia gigih memelihara Sumi dengan penuh kasih sayang. Pada akhirnya, mereka berdua terpaksa hidup bergelandangan kerana gubuk buruk di kawasan setinggan yang mereka diami diruntuhkan untuk tujuan pembangunan.

TEMA
Bertemakan tentang perjuangan hidup seorang lelaki tua yang bergelut dengan penderitaan dalam mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan. Lelaki tua itu hanya bergantung pada pendapatannya sebagai peminta sedekah di bandar raya Kuala Lumpur untuk meneruskan kehidupan bersama seorang cucunya yang masih kecil iaitu Sumi.

PERSOALAN
1. Persoalan tentang kemiskinan hidup. Contohnya, datuk tua menyara kehidupan dengan menjadi seorang peminta sedekah dan dia juga tinggal di sebuah gubuk buruk di kawasan setinggan di kota Kuala Lumpur bersama dengan seorang anak iaitu Sumi.
2. Persoalan tentang kasih sayang. Contohnya, datuk tua menjaga Sumi dengan penuh kasih sayang seperti anak kandungnya sendiri dan berusaha untuk membahagiakan Sumi walaupun membesarkannya dengan hanya memberi makan hasil huluran tin susu tuanya.
3. Persoalan tentang pembuangan bayi. Contohnya, Sumi telah dijumpai oleh datuk tua di dalam tong sampah dengan keadaan hanya berbalut dengan lampin.
4. Persoalan tentang ketabahan dalam menempuh dugaan hidup. Contohnya, dalam menghadapi dugaan hidup walaupun gubuk buruk yang didiaminya selama ini bersama Sumi di kawasan setinggan telah dirobohkan.
5. Persoalan tentang kegigihan dalam mencari rezeki. Contohnya, datuk tua yang telah berusia hampir 100 tahun dan bongkok pula masih gigih dalam mencari rezeki demi meneruskan hidupnya dan cucu kesayangannya walaupun pekerjaannya itu hanya mengemis di jalanan.
6. Persoalan tentang keyakinan akan Tuhan. Contohnya, datuk tua yakin bahawa walaupun pekerjaannya kini terjejas akibat gubuk buruknya telah dirobohkan tetapi baginya bumi Allah ini luas dan dia masih boleh meneruskan perjuangan untuk mencari rezeki di mana-mana tempat.
8. Persoalan tentang kemajuan pembangunan. Contohnya, Kuala Lumpur merupakan bandar raya yang sudah mengecapi kemajuan pembangunan sehingga menjadikan tempat tersebut lubuk atau pusat pekerjaan penduduk yang sangat penting. Begitu juga, deretan gubuk buruk yang didiami oleh datuk tua bersama dengan penghuni-penghuni yang lain telah dirobohkan untuk tujuan pembangunan.

WATAK DAN PERWATAKAN

Datuk Tua
1. Watak utama cerita.
2. Berusia menjangkau satu abad iaitu hampir 100 tahun.
3. Badannya kurus dan sudah bongkok. Dia berdiri dan berjalan dengan bantuan tongkat.
4. Tinggal di gubuk buruk di kawasan setinggan di Kuala Lumpur.
5. Seorang peminta sedekah.Contohnya, datuk tua selalu mengemis di kaki-kaki lima bandar Kuala Lumpur.
6. Memelihara seorang anak iaitu Sumi yang telah dibuang oleh ibu bapanya di tong sampah.
7. Seorang yang penyayang. Contohnya, dia menjaga Sumi dengan penuh kasih sayang seperti anak kandungnya sendiri dan berusaha menunaikan permintaan .
8. Seorang yang gigih. Contohnya, meskipun datuk tua sudah teramat tua dan bongkok pula tetapi dia gigih memelihara Sumi dengan penuh kasih sayang dan berusaha mencari mencari rezeki untuk membesarkannya.
9. Seorang tua yang mempunyai naluri kemanusiaan yang tinggi. Contohnya, meskipun datuk tua sudah teramat dan seorang peminta sedekah tetapi dengan naluri kemanusiaan yang ada pada dirinya, dia sanggup memelihara Sumi yang dibuang oleh ibu bapanya di tong sampah.
10. Percaya dan yakin akan Tuhan. Contohnya, datuk tua yakin Tuhan akan sentiasa memberi ruang kepadanya untuk mencari rezeki di mana–mana tempat di bumi ini.


Sumi
1. Berumur lima tahun.
2. Korban kezaliman ibu bapa yang tidak bertanggungjawab. Contohnya telah dibuang oleh ibu bapanya di tong sampah dan telah dijumpai oleh datuk tua dengan keadaan yang hanya berbungkus lampin.
3. Dipelihara oleh datuk tua iaitu seorang peminta sedekah yang sudah berusia.
4. Menyayangi datuk tuanya. Contohnya, semasa gubuk buruk tempat tinggal mereka diruntuhkan, Sumi segera mendapatkan datuk tua kesayangannya walaupun sedang sakit. Dia tidak mahu datuk tuanya itu terkial-kial sendirian menanggung segala penderitaan yang dialami.
5. Seorang kanak-kanak yang periang dan mempunyai dua orang kawan iaitu Utih dan Nana.
6. Seorang kanak-kanak yang tidak pernah merasai kesenangan hidup. Contohnya, Sumi tidak pernah merasai kesenangan hidup lantaran ibu bapanya yang membuangnya di tong sampah dan kini, hidup bergantung dengan datuk tuanya yang lemah dan tidak mempunyai apa-apa iaitu mencari rezeki dengan hanya mengemis.




LATAR
(a) Latar Tempat
1. Bandar raya Kuala Lumpur
2. Kaki lima – tempat datuk tua meminta sedekah.
3. Gubuk buruk di kawasan rumah setinggan – tempat datuk tua dan Sumi tinggal.

(b) Latar Masa
1. Waktu tengah hari – keadaan terik panas yang dilalui oleh datuk tua semasa mengemis di jalanan.
2. Waktu sore/petang -
3. 5 tahun yang lalu – Datuk tua menjumpai bayi yang berbalut dengan lampin di tong sampah .
4. 20 tahun yang lalu – Detik permulaan datuk tua memulakan kehidupan sebagai seorang peminta sedekah.


(c) Latar Masyarakat
1. Masyarakat kota yang miskin. Contohnya, datuk tua mencari rezeki untuk menyara kehidupan dengan hanya meminta sedekah. Dia dan Sumi tinggal di kawasan setinggan iaitu di gubuk buruk tebing sungai.
2. Masyarakat tua yang gigih. Contohnya, datuk tua yang sudah berusia menjangkau 100 tahun dan sudah bongkok masih meneruskan kehidupan mencari rezeki dengan mengemis di jalanan walaupun sudah teramat tua.
3. Masyarakat kota yang murah hati dan berbelas kasihan. Contohnya, masih terdapat segelintir warga kota yang simpati dan bermurah hati dengan memberi sedekah kepada datuk tua.
4. Masyarakat yang penyayang. Contohnya, datuk tua menyayangi Sumi dengan menjaganya dengan penuh kasih sayang seperti anak kandungnya sendiri.
5. Masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan berperikemanusiaan. Contohnya, ibu bapa Sumi mewakili masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan berperikemanusiaan kerana membuang anak di tong sampah.
6. Masyarakat yang jahil tentang agama. Contohnya, perbuatan ibu bapa Sumi yang membuangnya di tong sampah memperlihatkan kurangnya nilai agama dalam diri sehingga sanggup membuang darah daging sendiri.
7. Masyarakat kota yang sentiasa sibuk. Contohnya, setiap hari masyarakat kota di Kuala Lumpur digambarkan sentiasa sibuk dengan hal dan pekerjaan masing-masing.
8. Masyarakat kota yang terabai dari segi kebajikan. Contohnya, datuk tua dalam keadaannya yang sudah menjangkau usia 100 tahun masih merempat di kota Kuala Lumpur mencari rezeki dengan meminta sedekah tanpa ada bantuan daripada mana-mana pihak untuk menempatkannya di rumah-rumah kebajikan orang-orang tua.


TEKNIK PENCERITAAN
1. Pemerian
- Tatapannya merenung kejauhan lalu menembusi kenderaan dan derap langkah kaki warga kota yang lewat di hadapannya. Pun ketika ada dentingan syiling yang terlontar di dalam tin susunya, tatapannya itu tetap tidak berubah. Getir dan penuh penderitaan, membayangkan warna hidupnya. (MS 93)

- Datuk tua bersama Sumi berjalan perlahan-lahan beredar. Tidak dihiraukannya lagi kebisingan itu. Tidak dipedulikan lagi jeritan-jeritan memilukan. Baginya semua itu sudah tidak bererti. Bumi Allah ini luas. Dia yakin itu. Untuk sekian lamanya, tiba-tiba bibir itu mengorak senyum. (MS 101)

2. Imbas Muka/ Flashforward
- Datuk tua sedang merenung dan berfikir untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah yang sedang bersarang dalam kepala. Dia merasakan petang itu merupakan petang bagi segala masalah. (MS 94)

- Datuk tua mengharapkan apabila Sumi sudah melalui peringkat kedewasaan, dia dapat hidup sebagai anak merdeka dan berasa bangga hidup di atas bumi. (MS 97)

3. Imbas kembali / Flasback
- Datuk tua teringat akan kedatangan lelaki-lelaki asing yang memakai kemeja dan tali leher dengan cara jalan yang begitu gagah di kawasan deretan gubuk-gubuk buruk mereka di tebing sungai. (MS 94-95)

- Datuk tua teringat akan peristiwa dia menjumpai Sumi yang masih bayi di dalam tong sampah dengan hanya berbalut lampin buruk. (MS 96)

- Datuk tua teringat akan Sumi yang sudah pandai merajuk dan bertanya tentang ayah dan ibunya kandungnya. (MS 97)

- Datuk tua teringat akan Sumi yang sudah tiga hari terbaring di tikar mengkuang lusuh kerana sakit. (MS 97)

- Datuk tua teringat akan pesanan Sumi yang menyuruhnya balik cepat pada hari itu. (MS 99)

4. Dialog
- “Tanah ni tanah kerajaan, pak cik. Di tapak tanah ni akan dibina bangunan lapan puluh tingkat.”
            “Tapi encik…”
            “Tak ada tapi-tapinya lagi. Kalau saya kata pindah, pindah!”  (MS 95)

5. Monolog dalaman
- Dia bertanya kepada dirinya lagi. Di manakah peri kemanusiaan warga kota? Di manakah keadilan yang selalu dilaung-laungkan? Dia tidak tahu. Dia juga tidak tahu di manakah haknya sebagai warga kota yang bernaung di bumi merdeka? Mana? Mana? Hatinya menjerit. (MS 96)
- Mungkin ada rezeki lebih hari ini Sumi. Nanti tuk belikan limau. Hatinya berbicara. (MS 97)

6. Monolog
- “Tunggu ya cu, tuk pulang ni!” Dia berbisik sendirian. (MS 99)

7. Suspen
- Langkahnya semakin cepat. Sesekali dia tersepak batu-batu di jalanan. Semakin hampir ke tempat itu semakin kuat bunyi buldozer dan semakin lemah tubuh tuanya. Langkahnya mati tiba-tiba. (MS 99)



NILAI MURNI
1. Kasih sayang. Contohnya, datuk tua menyayangi Sumi dengan menjaganya dengan penuh kasih sayang seperti anak kandungnya sendiri.
2. Pemurah. Contohnya, segelintir warga kota simpati dengan kesusahan yang dialami oleh datuk tua dengan bermurah hati menghulurkan sedekah.
3. Tabah. Contohnya, datuk tua tabah menghadapi dugaan hidup walaupun terpaksa bergelut dengan penderitaan hidup.
4. Kesyukuran. Contohnya, datuk tua sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diterimanya hasil daripada meminta sedekah daripada orang lain.
5. Gigih. Contohnya, datuk tua yang telah berusia hampir 100 tahun dan bongkok pula masih gigih dalam mencari rezeki demi meneruskan hidupnya dan cucu kesayangannya walaupun pekerjaannya itu hanya mengemis di jalanan.
6. Bertanggungjawab. Contohnya, datuk tua telah menunaikan tanggungjawab dengan menjaga dan membesarkan Sumi  yang telah dibuang oleh ibu bapanya di tong sampah.

AMANAT DAN PENGAJARAN
1. Kita hendaklah tabah menghadapi dugaan dan takdir hidup.
2. Kita perlulah gigih berusaha dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
3. Kita mestilah bertimbang rasa dan mempunyai belas kasihan terhadap kesusahan orang lain.
4. Kita haruslah bertanggungjawab terhadap segala perbuatan dan tindakan kita.
5. Kita haruslah sentiasa bersyukur kepada Tuhan untuk setiap rezeki yang diberikan kepada kita.
6. kita hendaklah memberi kasih sayang yang baik terhadap anak-anak.


GAYA BAHASA
1. Metafora
- Getir dan penuh penderitaan, membayangkan warna hidupnya. (MS 93)

2. Simile
- Hitam seperti malam. (MS 93)
- Hatinya bagai digamit untuk melangkah pantas. (MS 99)

3. Penggunaan bahasa asing.
- Alhamdullilah. (MS 94)
- Sore. (MS 97)
- buldozer. (MS 99)

4. Retoris
- Di manakah peri kemanusiaan warga kota? Di manakah keadilan yang selalu dilaung-laungkan? Dia tidak tahu. Dia juga tidak tahu di manakah haknya sebagai warga kota yang bernaung di bumi merdeka? Mana? Mana? (MS 96)

5. Repitisi anafora.
- Terbelelenggu oleh kemiskinan. Terbelenggu dengan undang-undang dunia ciptaan manusia yang tidak berhati perut. (MS 95)
- Tidak ada susu. Tidak ada kopi. (MS 96)
- Sudah pandai menanya. Sudah pandai merajuk. (MS 97)

6. Paradoks.
- Siang ialah malam. Malam ialah siang. (MS 97)

7. Personifikasi.
- Hatinya menjerit. (MS 96)
8. Singkop.
- “Tak ada tapi-tapinya lagi. Kalau saya kata pindah, pindah!” (MS 95)
- “Balik cepat ya tuk, Sumi takut.” (MS 99)

9. Hiperbola.
- Mengalir air mata darah
- Matahari jam dua belas tegak di atas kepala, memanah mata tua. (MS 94)